Sesungguhnya cinta ku, hidup ku dan mati ku hanya untuk Allah. Air mata
Zara mengalir lagi. Dia cuba menguatkan hatinya dengan kata-kata itu agar dia
tidak terlalu memikirkan hal-hal dunia kecuali demi redha Allah. Namun, masih
ada rasa sakit yang tersisa dalam hatinya. Peristiwa di malukan oleh pelajar
lelaki Tingkatan 1 Reflessia semalam masih terbayang di bola matanya. Dia
memejamkan matanya serapat mungkin. Sungguh dia tidak mahu lagi masuk ke kelas
itu. Memandang wajah pelajar itu juga seperti tidak mahu. Tapi mampukah dia
lakukan ? Tanggungjawab dan amanah terbeban di atas bahunya. Dia perlu juga
melangsaikan tanggungjawabnya mendidik, mengajar dan membina masa depan pelajar-pelajarnya.
Termasuklah Aniq. Mohammad Aniq Hafidzuddin, pelajar lelaki Tingkatan 1 Reflessia
yang telah berjaya memalukannya semalam dan membuatnya menangis hingga di sujud
Subuhnya ini. Zara melepaskan keluhannya cukup panjang. Pantas dia menyeka air matanya.
Dia perlu hadapi juga. Semua itu dugaan sebagai seorang guru. Meskipun dia
tidak pernah ikhlas belajar dan menjadi seorang guru, tapi demi perjanjiannya
dengan dirinya sendiri dia perlu lakukan yang terbaik untuk dirinya. Satu
tekadnya. Dia tidak akan selamanya sebagai guru. Menjadi hamba kepada
pelajar-pelajar yang kurang ajar seperti Aniq.
Langkahnya cukup berat. Degupan jantungnya pantas tidak seperti biasa.
Hatinya cukup tidak enak. Zara menghentikan langkahnya di kelas 1 Lily. Tidak
kuat rasanya mahu melangkah ke Tingkatan 1 Reflessia. Buku rancangan pengajaran
harian dan buku teks Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 1 digenggam
erat. Dia cuba menahan gelodak hatinya saat itu. Dia menarik nafas dalam-dalam
lalu dihembuskannya kembali. Setelah terasa jiwanya tenang sedikit, Zara
melangkah dengan yakin masuk ke Tingkatan 1 Reflessia.
“Bangun !!” gema suara
pelajar menyapa gegendang telinganya saat dia masuk ke dalam kelas.
“Assalamualaikum cikgu,”
ujar ketua kelas lalu disambut oleh pelajar yang lain. Zara hanya menjawabnya perlahan. Dia mengangkat muka
memandang pelajar-pelajarnya. Terdapat sesuatu yang ganjil. Di mana Aniq?
“Duduk semua,” ujar Zara
sebaik saja pelajar-pelajar selesai membaca doa untuk memulakan pelajaran. Zara
mula mengarahkan pelajar-pelajar mengeluarkan tugasan yang telah diberikannya
semalam. Dia melangkah meninjau satu per satu kerja yang dihasilkan oleh
pelajar-pelajarnya.
“Mana Aniq?” soal Zara
sebaik saja tiba di meja Abd Rahman, teman baik Aniq. Abdul Rahman mengangkat
muka memandang gurunya itu.
“Dia kemalangan semalam
petang,” ujar Abdul Rahman. Zara tergamam. Kemalangan? Baru semalam dia
memandang tawa pelajarnya itu saat dia jatuh tersungkur akibat kaki Aniq yang
sengaja menghalang perjalanannya.
“Teruk?” soal Zara
memandang Abdul Rahman.
“Tak tahu. Mungkin teruk.
Berlanggar dengan kereta. Dia jalan kaki balik sekolah semalam,” jawab Abdul
Rahman. Zara menarik nafas dalam-dalam lalu menganggukkan kepalanya. Dia tidak
mahu meneruskan pertanyaannya pada Abdul Rahman. Cukuplah sekadar itu. Mungkin
dia boleh dapatkan maklumat dari sumber yang lebih pasti.
Setelah mendapatkan maklumat terperinci dari fail pelajar di pejabat,
akhirnya Zara nekad melawat Aniq di Hospital Besar Sultanah Aminah. Rasa
marahnya kepada Aniq entah ke mana hilangnya. Sungguh dia lupa tentang kejadian
yang menimpanya semalam. Dia lupa tentang hilai tawa Aniq saat dia jatuh
tersungkur di dalam kelas semalam.
Langkahnya pantas menuju ke wad yang dimaksudkan. Sebaik
saja tiba di pintu masuk wad 12, langkahnya terhenti. Dari jauh dia melihat Aniq
sedang tidur dengan kedua belah kakinya berbungkus. Dia meneruskan langkahnya
hingga tiba di sisi katil Aniq. Terdapat kesan luka di wajah dan tangan Aniq.
Hati Zara meruntun hiba. Wajah pelajarnya itu begitu menyentuh hatinya. Aniq
nampak saja besar dengan fizikalnya namun pelajarnya baru saja mahu melangkah
ke alam remaja. Usia pelajarnya itu masih
begitu mentah untuk dia menaruh rasa sakit hati apa lagi dendam terhadap
kejadian yang menimpanya semalam.
Perlahan-lahan Aniq
bergerak. Matanya mula terbuka. Zara menanti dengan sabar. Pasti kehadirannya
adalah kejutan besar buat Aniq.
“Assalamualaikum,” sapa Zara
dengan senyuman sebaik saja Aniq membuka mata.
Sebagaimana jangkaan Zara,
kehadirannya benar-benar satu kejutan buat Aniq. Aniq terdiam saat memandang
guru yang telah dia sakiti semalam. Salam gurunya itu tidak dijawab lantaran
kejutan yang diterima.
“Cikgu?” ujar Aniq. Zara
tersenyum memandang pelajarnya itu.
“Tak mahu jawab salam
saya?” soal Zara.
“Err .. waalaikumussalam,”
jawab Aniq dalam gugup yang cuba di sembunyikan. “ Kenapa cikgu datang?” soal Aniq
memandang guru barunya itu.
“Tak boleh ya? “ soal Zara
sambil duduk di kerusi yang telah tersedia di sisi katil tersebut.
“Tak sangka cikgu datang,”
jawab Aniq. Timbul rasa bersalah terhadap gurunya itu mengenangkan perbuatannya
semalam. Mungkin ini juga apa yang Allah ‘hadiahkan’ buatnya kerana menyakiti
guru yang begitu ikhlas dengannya.
“Kebetulan saya ada urusan
di sekitar sini. Saya datanglah sekejap. Abdul Rahman yang bagitahu awak
kemalangan semalam,” ujar Zara.
“Dia ada dengan saya
semalam,” jawab Aniq ringkas. Zara menganggukkan kepalanya beberapa kali.
Senyuman masih terukir di bibirnya.
“Mak ayah awak mana?” soal
Zara. Wajah Aniq sedikit berubah. Senyumannya sedikit hambar.
“Mereka di Penang,” jawab Aniq
pendek. Zara menarik nafas dalam-dalam. Mungkinkah Aniq ini sama saja nasibnya
dengan anak-anak yang lain yang ketandusan kasih sayang dari orang tua mereka.
“Mereka sibuk tu. Nanti
mereka datanglah tengok awak,” komen Zara cuba menyenangkan hati pelajarnya
itu.
“Harap begitu,” jawapan
ringkas dari Aniq itu menggambarkan hati pelajarnya saat itu. Getar suaranya
saja sudah menggambarkan rasa kecewa yang begitu dalam. “ Saya ... saya minta
maaf tentang semalam. Saya memang sengaja mainkan cikgu begitu,” ujar Aniq
tidak memandang gurunya itu.
Zara terdiam. Sungguh dia
terlupa soal kejadian semalam. Pantas dia mengukir sebuah senyuman buat
pelajarnya itu. “Saya tak berdendam. Tapi saya memang marahkan awak,” ujar Zara.
“Cikgu marahkan saya tapi
kenapa cikgu datang tengok saya?” soal Aniq. Baginya kehadiran Cikgu Zara, guru
praktikal yang mengajar kelasnya subjek Sivik dan Kemahiran Hidup itu
menunjukkan bahawa gurunya itu tidak marah kepadanya.
“Aniq,
awak kena ingat. Saya cikgu awak. Lama manalah saya boleh marahkan awak. Dari
saya marahkan awak, rasanya lebih baik kalau saya cuba berbaik dengan awak.
Boleh?” soal Zara. Aniq terdiam. Mesra suara gurunya itu seperti meresap ke
dalam hatinya. Terasa dirinya dihargai dan disayangi. Tidak pernah ada sesiapa
yang bercakap begitu lembut kepadanya. Tidak ada siapa juga yang pernah begitu
prihatin padanya. Termasuklah ayah dan ibu tirinya. Ya, ibu tirinya. Andai saja
ibunya masih hidup. Pasti ibunya akan sebaik Cikgu Zara Nafisah.
Sebulan terlantar di hospital, akhirnya Aniq kembali ke
sekolah walaupun kakinya sedikit tempang ketika berjalan. Menurut doktor,
keadaan itu hanya sementara. Dia akan pulih sepenuhnya sekitar dua minggu lagi.
Semangatnya ke sekolah kali ini jauh berbeza. Dia tidak datang untuk bertemu
kawan. Tidak juga datang untuk bermain tapi datang untuk bertemu Cikgu Zara
Nafisah. Dia tidak tahu mengapa sejak kehadiran guru itu melawatnya di
hospital, dia seperti terpukau dengan kebaikan guru itu.
“Eh cikgu,” sapa Aniq
sebaik saja terserempak dengan Zara saat gurunya itu keluar dari kelas di
sebelah kelasnya. Zara terdiam seketika memandang pelajarnya itu.
“Aniq. Awak sudah sihat
betul?” soal Zara memandang Aniq yang sedikit tinggi darinya. Keadaan
fizikalnya yang kecil dan wajahnya yang sentiasa tersenyum adalah pakej yang
amat besar baginya untuk menyembunyikan umurnya yang sebenar.
“Sudah cikgu. Cikgu cantik
hari ni. Cikgu masuklah kelas ni,” ujar Aniq. Zara tergelak dengan pujian itu.
Rasa ganjil sungguh apabila Aniq memujinya begitu.
“Ini bukan masa saya,
Aniq. Awak masuk kelas, belajar dengan cikgu awak ya. Bila masa saya, saya
masuk. Cepat masuk kelas,” ujar Zara lalu melangkah meninggalkan pelajarnya
itu. Aniq melepaskan keluhan. Guru kesayangannya itu tidak langsung prihatin
terhadapnya. Sungguh itu mengecewakan.
Zara menatap surat arahan supaya dia mencari dan menyediakan pelajar untuk
di hantar ke Kem Motivasi Jiwa dan Minda Kelas Pertama. Menurut Cikgu Ahmad
Maalim, dia boleh memilih mana-mana pelajar yang dia rasakan layak untuk di
hantar ke kem tersebut. Otaknya ligat memikirkan pelajar yang mungkin layak
untuk ke sana. Dua orang lelaki dan dua orang perempuan. Siapa yang mungkin
layak? Getus hatinya sendiri.
Jika dia memilih pelajar
menengah atas, pastinya itu pilihan yang baik memandangkan mereka akan
menghadapi dunia luar tidak lama lagi. Tapi, mungkin juga pilihan yang baik
jika dia memilih pelajar menengah rendah kerana pelajar tersebut mula akan dididik
dari awal. Dalam usia awal remaja, mereka seharusnya mendapat pengisian jiwa
yang baik agar dapat dijadikan asas kukuh bagi menghadapi usia dan dunia
remaja.
Otaknya mula fokus kepada Aniq.
Dia tidak pasti mengapa nama pelajar itu muncul di kotak fikirannya. Mungkin
juga pelajar itu semakin rapat dengannya. Mungkin juga kerana dia tahu bahawa
ada yang tidak selesai dalam jiwa pelajar itu. Pantas Zara meletakkan nama Aniq
Hafidzuddin bin Mohammad Aiman di dalam petak nama yang disediakan. Tinggal
tiga petak yang kosong. Dia tersenyum sendiri. Dia tahu siapa yang bakal diletakkan.
Pantas dia bangun lalu melangkah menuju ke bilik kaunseling.
Setelah memohon izin dari
guru kaunseling untuk melihat fail disiplin pelajar, Zara meneliti satu per
satu nama yang dirasakan sesuai untuk dihantar ke kem tersebut. Dia tahu,
tindakannya itu seperti gila. Meletakkan nama pelajar yang mempunyai masalah
disiplin di sekolah untuk di hantar ke kem tersebut. Tapi dia punya alasan yang
kuat dan tersendiri berkaitan hal itu. Jika pelajar yang baik dan terpilih di
hantar ke kem tersebut, sememangnya itu bagi membangunkan lagi jiwa dan sahsiah
diri mereka. Tapi, jika pelajar yang mempunyai masalah disiplin dan kecelaruan
jiwa dihantar ke sana, bukankah itu dapat membantu mereka memberikan nafas baru
dalam jiwa dan sahsiah mereka ?
Momokan bahawa mereka yang bermasalah akan terus
bermasalah itu hanya prejudis oleh kebanyakan pihak. Kadangkala manusia tidak
mahu memberikan mereka peluang untuk berubah malah terus menerus menghukum.
Mereka tidak akan mampu berubah tanpa sokongan dan sentuhan baru dalam jiwa
mereka. Label kacang hantu, kurang ajar dan banyak lagi panggilan-panggilan
seperti itu saban hari kadangkala menjadi doa buat mereka. Bagi Zara, sebagai
guru dia perlu membawa sesuatu yang positif buat mereka. Dia benar-benar mahu
buktikan bahawa golongan pelajar nakal di sekolah itu mampu dibentuk dengan
penghargaan dan kasih sayang. Dia pasti, meletakkan nama mereka yang bermasalah
dalam kem tersebut akan menjadi buah mulut para guru di sekolah itu, tapi pasti
penghargaan yang cukup besar bagi pelajar-pelajar yang terpilih.
Sabtu minggu keempat itu memaksa Zara hadir ke sekolah. Dia perlu bertugas
sebagai guru menjaga beg para pelajar semasa larian merentas desa berlangsung.
Rasa bosan begitu menghambat dirinya saat dataran perhimpunan sekolah itu
kosong dengan pelajar. Hanya beg-beg yang berkumpul di sana sini.
“Hai, cikgu,” sapaan itu
membuatnya berpaling. Aniq duduk di sisinya dengan senyuman.
“Assalamualaikum,” ujar Zara
sekadar membetulkan sapaan pelajarnya itu. Bukankah mereka Muslim? Lebih baik
bukan sekiranya sapaan mereka dimulakan dengan salam?
“Waalaikumussalam,” jawab Aniq.
“Kenapa kamu tak lari,
Aniq?” soal Zara memandang pelajarnya itu.
“Kaki saya tak elok lagi,”
jawab Aniq sambil menunjukkan kakinya yang masih belum pulih sepenuhnya dari
kemalangan dua bulan yang lalu. Zara hanya menganggukkan kepalanya.
“Macam mana kem? Okay tak?” soal Zara memandang Aniq di
sisinya. Waktu itu dia bertugas sebagai penjaga beg bagi pelajar yang membuat
larian merentas desa.
“Seronok cikgu,” jawab Aniq
ringkas. “Banyak saya dapat di situ. Jaga solat. Cara pergaulan dengan
kawan-kawan dan paling penting kasih dan sayangkan ibu bapa dan cikgu-cikgu,”
sambungnya lagi. Zara tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Bagus. Jadi sekarang Aniq
jangan tinggal solat. Bila kita nak jadi orang yang bagus, orang yang hebat,
jangan sekali lupa Tuhan. Jangan lupa Allah. Dalam hati jiwa orang hebat pula
perlu dipenuhi dengan kasih sayang. Sebab berkasih sayang kerana Allah itu
pahala,” ujar Zara. Aniq tersenyum.
“Kalau saya sayangkan
cikgu, maknanya saya dapat pahala?” soal Aniq memandang gurunya itu. Zara
menganggukkan kepalanya.
“Insya-Allah,” jawap Zara.
“Cikgu sayang saya?” soal Aniq
memandang gurunya itu. Entah mengapa dia tidak merasakan gurunya itu mempunyai
beza umur sepuluh tahun dengannya. Cikgu Zara tidak pernah marah dengan setiap pertanyaannya.
“Mestilah saya sayang.
Awak pelajar saya. Saya sayang semua pelajar saya, Aniq,” jawab Zara.
Jawapannya perlu tepat buat Aniq. Dia tidak mahu Aniq berfikir sayangnya
mempunyai maksud yang berbeza. Baginya, hanya kasih sayang saja yang merapatkan
hubungannya dengan semua pelajar selama dia menjalani latihan mengajar di
sekolah itu.
“Tapi saya nak cikgu
sayang saya seorang,” balas Aniq. Ada rasa cemburu dalam hatinya apabila cikgu
kesayangannya itu mengatakan dia menyanyangi semua pelajarnya. Maknanya, dia
tidak berada di tempat yang istimewa di hati gurunya itu.
“Tak bolehlah macam tu.
Tak adil namanya,” balas Zara.
“Kalau saya suka cikgu?”
soal Aniq. Zara terdiam. Suka yang bagaimana maksud Aniq? Pantas Zara
menyembunyikan tanda tanya dalam hatinya.
“Baguslah. Maknanya awak
sukalah saya mengajar, kan?” balas Zara cuba mengalih topik perbualan mereka.
Dia mula merasakan ada yang tidak kena dengan Aniq.
“Tapi saya suka cikgu. Saya
nak jadi boyfriend cikgu,” pengakuan
Aniq benar-benar mengejutkan Zara. Dia tidak menduga itu yang keluar dari mulut
pelajarnya itu. Lidahnya kelu seketika. Pantas dia tersenyum menyembunyikan
rasa hatinya.
“Tak boleh Aniq. Perasaan
tu salah,” ujar Zara.
“Kenapa? Cikgu sayang
saya, kan? Cikgu ambil berat tentang saya,” balas Aniq seolah-olah sukar
menerima jawapan gurunya itu. Zara menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa
kali.
“Saya sayangkan awak macam
ibu ayah awak sayangkan awak. Tak lebih dari tu Aniq. Saya cikgu awak. Awak
tanam betul-betul dalam hati awak yang saya cikgu awak. Boleh?” ujar Zara
supaya Aniq faham situasi mereka sekarang. Supaya pelajarnya itu sedar bahawa kasih
sayangnya pada Aniq bukan kasih sayang seperti pasangan kekasih. Itu sudah jauh
melanggar etikanya sebagai seorang guru.
“Tapi saya memang sukakan
cikgu,” balas Aniq. Zara sekadar tersenyum. Pasti ada kekeliruan pada hati
pelajarnya itu. Suatu masa nanti Aniq pasti akan sedar perasaan itu adalah satu
salah faham antara kasih seorang guru dan kekasih. Dia yakin, perasaan itu
pasti akan hilang begitu saja apabila dia tamat latihan mengajarnya di sekolah
itu. Meskipun dia yakin, dia akan merindui sekolah itu. Merindui Aniq sebagai
pelajarnya yang berbeza dari yang lain. Meskipun dia hadir ke sekolah itu
sebagai guru secara paksa rela, namun menggalas tanggungjawab sebagai seorang
guru membuatnya belajar erti keikhlasan. Dia benar-benar bersyukur kerana berpeluang
mengenali manisnya bergelar seorang guru.
10 tahun kemudian
Sedaya upaya Aniq mengejar
gadis yang baru melintasinya tadi. Kesesakan para pelajar yang keluar dari
dewan peperiksaan membuatkan gadis itu lenyap begitu saja. Aniq melepaskan
keluhannya. Dia yakin itu Cikgu Zara Nafisah. Wajah guru Pendidikan Siviknya
itu masih segar di mindanya hingga hari ini. Tiada siapa juga yang berjaya
menggantikan sayangnya pada gurunya itu. Dia memandang ke kiri dan ke kanan.
Perlahan-lahan dia
mengecilkan bola matanya. Seorang gadis sedang menyandang beg galas berjalan
menuju ke kafetaria. Aniq segera mengatur langkah mengekori gadis itu. Degupan
jantungnya kia tidak teratur. Pelbagai andaian menerjah ke ruang fikirannya.
Bagaimana jika dia salah?
“Err .. assalamualaikum,”
sapa Aniq sebaik saja menghampiri gadis itu. Aniq terdiam sebaik saja gadis di
hadapannya itu memandangnya.
“Waalaikumussalam,” jawab
gadis itu dengan senyuman. Aniq tergelak memandang gadis di hadapannya itu.
Sungguh itu memang Cikgu Zara Nafisah. Dia yakin itu guru kesayangannya yang
begitu lama tidak dia temui. Guru yang amat dia rindui.
“Cikgu Zara, kan?” soal Aniq
inginkan lebih kepastian. Dahi gadis itu berkerut.
“Cikgu?” ujar gadis itu
kehairanan. Memang Zara. Zara keliru seketika. Dia hampir terlupa yang dia
pernah bergelar guru di sekolah. Kerjayanya sebagai guru hanya sempat hingga
menamatkan latihan mengajarnya. Selepas selesai ijazah sarjana mudanya, dia
menyambung ke peringkat sarjana dan kini sedang bertungkus lumus untuk
menghabiskan program doktor falsafah. “Cikgu tak ingat saya? Saya Aniq,” ujar
Aniq sungguh-sungguh. Zara terdiam kemudian tergelak kecil.
“Astaghfirullahadzim. Maaf. Saya terlupa sangat tadi,” ujar Zara. Aniq
tersenyum memandang bekas gurunya itu.
“Alhamdulillah, cikgu.
Lama saya cari cikgu. Saya rindu sangat pada cikgu,” ujar Aniq meluahkan rasa syukur
dan rindunya saat itu juga. Zara tergelak.
“Masih ingat saya lagi,
ya? Ingat dah besar-besar macam ni sudah lupa pada saya,” seloroh Zara dengan
senyuman yang masih setia di wajahnya. Aniq tersenyum memandang guru yang amat
dia rindui itu. Tidak banyak yang berubah pada gurunya itu. Penampilan dan
senyuman wanita di hadapannya itu masih sama seperti dulu. Cikgu Zara masih
mesra seperti dahulu. Hanya ada riak kematangan pada wajah itu.
“Mana boleh lupa, cikgu.
Hari-hari saya rindu cikgu,” balas Aniq. Zara tergelak dengan kata-kata bekas
pelajarnya itu. Aniq begitu berbeza kini. Dia bukan lagi anak kecil seperti 10
tahun lalu. Bekas pelajarnya itu sudah meningkat dewasa kini. Mungkin sudah
mempunyai teman wanita untuk dijadikan pendamping hidupnya.
“Pandai betul awak, ya.
Belajar apa sekarang ni?” soal Zara.
“Perubatan. Insya-Allah,
awal tahun depan habis. Cikgu buat apa di sini? Sambung belajar?” soal Aniq
memandang bekas gurunya. Zara tersenyum.
“Cuba habiskan pHd secepat
yang boleh. Saya tak jadi cikgu di sekolah. Tutor di UM,” jawab Zara. Aniq
terkedu seketika. Bekas gurunya itu benar-benar merealisasikan apa yang pernah
dia katakan dahulu semasa di dalam kelas sivik.
“Tahniah. Harap cepat
cikgu habiskan. Mesti sudah kahwin, kan?” duga Aniq. Zara tergelak tidak
memandang bekas pelajarnya itu. Dia pasti memang itu adalah soalan yang sangat
menjadi kegemaran ramai orang terhadapnya. Tapi baginya, jodohnya masih belum
tiba.
“Jodoh belum sampai,”
jawapan Zara sedikit mengejutkan Aniq. Benarkah wanita di hadapannya itu masih
belum berpunya? Jika benar, masih ada peluangkah dia untuk memiliki wanita di
hadapannya itu? Beza umur 10 tahun bukan halangan baginya untuk jatuh cinta
pada bekas gurunya itu. Malah dia benar-benar yakin dia sudah jatuh cinta
kepada Cikgu Zara Nafisah beberapa minit yang lalu. Sungguh dia yakin.
Zara bangun dari sujudnya. Ada air mata mengalir di pipinya. Ada rasa hiba
yang tidak tertanggung dalam hatinya.
“Astaghfirullahaladzim,”
bibirnya terus tidak berhenti beristighfar. Dia memandang ke sebelah kanannya.
Sekujur tubuh sedang terlantar di atas katil. Sungguh dia tidak menduga lamaran
Aniq berakhir dengan tragedi. Air mata Zara jatuh lagi. Masih terngiang-ngiang
di gegendang telinganya saat Aniq melamarnya semalam.
“Cikgu pernah pesan supaya
saya cari perempuan yang baik untuk dijadikan pasangan, kan?” ujar Aniq
memandang bekas gurunya itu. Zara menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Tapi bukan saya, Aniq,”
balas Zara. Dia tidak tahu bagaimana semua ini boleh berlaku. Baginya, bercinta
dan bernikah dengan lelaki semuda Aniq adalah amat mustahil. Apa lagi jika
lelaki itu adalah bekas pelajarnya.
“Cikgu juga seorang
perempuan. Saya tak nampak mana salahnya. Saya sayangkan cikgu. Sepuluh tahun
cikgu hilang. Jadi, saya tak nak cikgu hilang lagi,” luah Aniq. Zara semakin
tidak menentu. Dia memandang lelaki di hadapannya itu. Dia akui ada sisa rasa
sayangnya pada Aniq. Tapi dia tidak pasti adakah dia mampu untuk menyayangi Aniq
sebagai seorang yang istimewa? Dia menyayangi Aniq sebagai seorang pelajar.
“Saya memang masih
belajar. Saya belum mampu menanggung hidup cikgu. Tapi saya sangat perlukan
kasih sayang cikgu. Saya rindukan kasih sayang cikgu yang hilang tu. Saya hanya
mahukan kasih yang halal dari cikgu. Saya mahu rindu saya pada cikgu itu bukan
bercampur halal dan haramnya. Izinkan saya mencintai cikgu dengan cinta yang
Allah redha,” luah Aniq memandang Zara. Zara terkedu. Belum ada seorang jua
lelaki yang begitu ikhlas mengharapkannya. Belum ada jua lelaki yang berjaya
mengetuk pintu hatinya selepas peninggalan tunangnya dahulu. Hatinya semakin
serba salah untuk menolak mahu pun menerima lamaran tersebut.
Pergerakan bangunan yang begitu mendadak mengejutkan Zara
yang sedang berperang dengan perasaannya. Dia memandang ke kiri dan kanan.
Bunyi hiruk pikuk suara manusia menyesakkan fikirannya. Hilang rasa sedihnya
tentang lamaran Aniq semalam. Tiba-tiba dia terpandang rekahan yang begitu
panjang pada penjuru bilik tersebut. Mungkinkah hospital itu bakal terlibat
dengan gempa bumi? Ya Allah, selamatkan kami Ya Allah. Air mata Zara
berhamburan keluar memikirkan nasibnya dan Aniq di situ.
Pantas dia berlari bersama
telekung yang masih kemas tersarung menuju ke pintu wad tersebut untuk
membukanya. Rasa cemas menghambat hatinya apabila pintu tersebut gagal dibuka
lantaran konkrit bahagian atas yang sudah beralih posisinya.
“Ya Allah,” tangisnya
sendiri. Serpihan batu kecil mula jatuh dari atas memenuhi ruang bilik
tersebut. Zara berlari mendapatkan Aniq yang masih juga tidak sedarkan diri.
Dia menolak katil tersebut ke tempat yang mungkin dia rasakan lebih selamat.
“Aniq, bangun Aniq. Kita
mesti keluar dari sini sekarang,” tangis Zara semahunya. Dia menggoncang tubuh Aniq
namun tiada sebarang tindak balas. Dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan
saat ini. “ Tolong bangun Aniq,” rayu Zara bersungguh-sungguh bersama air mata.
“Ya Allah, aku tidak tahu
jika di sini akhirnya riwayat aku. Aku mohon ampun di atas setiap dosa yang
telah aku lakukan. Ampunkan aku, Ya Allah. Ampunkan segala dosa pelajar ku, Ya
Allah. Ampunkan kami, Ya Allah,” tangis Zara. Sekali lagi berlaku gegaran yang
begitu kuat membuatkan Zara benar-benar tawakal dengan nasibnya. Retakan yang
begitu panjang di bahagian bumbung benar-benar mematikan harapannya untuk
menyelamatkan diri. Andai kata bahagian tersebut pecah, mustahil untuk dia dan
Aniq selamat. Jeritan orang ramai melarikan diri begitu menyesakkan
pendengarannya sedang dia dan Aniq tidak mampu ke mana-mana melainkan menunggu
nasibnya di tentukan oleh Allah.
Zara menarik nafas
dalam-dalam. Tiba-tiba dia terpandang satu serpihan konkrit yang agak besar mula
retak menanti jatuh. Seandainya serpihan itu jatuh, ia pasti akan jatuh menimpa
Aniq yang tidak sedarkan diri itu. Sekali lagi dia cuba menolak katil tersebut
ke bahagian lain. Belum sempat dia menolak katil tersebut, serpihan itu benar-benar
jatuh.
“Astaghfirullahaladzim .Ya
Allah,” hanya itu saja yang mampu terucap di bibir Zara apabila dia menawarkan
dirinya untuk menerima hentaman serpihan konkrit tersebut. Darah pekat
berhamburan keluar dari mulutnya ke atas tubuh Aniq. Terasa jantungnya sakit
sekali. Sakit yang tidak pernah dia rasakan sebelum ini. Sekali lagi darah
berhamburan keluar. Tubuh Aniq basah dengan darah yang keluar dari mulut Zara. Zara
hilang daya. Terasa tubuhnya hilang pertimbangan. Pandangannya kabur dan
perlahan-lahan gelap. Dia tersungkur di atas tubuh Aniq bersama kain telekung
yang berlumuran darah yang masih elok bersarung.
Perlahan-lahan Aniq membuka matanya. Tempat itu seperti padang jarak padang
terkukur di matanya. Terdapat bahagian yang pecah dan retak di sana sini. Serpihan
batu dan konkrit berselerakan di setiap tempat. Pintu bilik pecah di bahagian
atas akibat tekanan yang begitu kuat dari bahagian konkrit atas. Perlahan-lahan
dia mengalihkan sekujur tubuh yang tidak lagi bernyawa di atas tubuhnya. Cikgu Zara
Nafisah. Air matanya mengalir.
“Cikgu,” ujarnya bersama air mata. Namun panggilannya
sepi tidak bersahut. Hanya Allah jua yang tahu bagaimana rasa hatinya saat itu.
Dia tidak tahu apa yang telah terjadi. Tapi menurut pertimbangannya, mungkin
hospital tersebut terlibat dengan kejadian gempa.
Perlahan-lahan dia menarik
tubuh Zara yang sudah tidak bernyawa itu ke atas katil. Dia tidak akan
membiarkan jenazah wanita yang dicintainya itu terbiar sepi di atas lantai.
Kali ini dia beralih posisi turun dari katil membiarkan jenazah Zara kemas di atas katil. Air matanya masih
mengalir tidak mahu berhenti.
Tiba-tiba satu gegaran
yang cukup kuat mengejutkan Aniq. Gegaran tersebut mengakibatkan bahagian
dinding luar berkecai. Waktu itu, dia benar-benar menyerahkan hidup dan matinya
untuk Allah S.W.T. Jenazah Zara jatuh dari atas katil akibat pergerakan lantai
bilik tersebut. Pantas Aniq menyambutnya dari terus jatuh keluar lalu menjunam
ke bawah. Perbualannya dengan Cikgu Zara Nafisah sepuluh tahun lalu menerjah ke
fikirannya saat itu. Air matanya berhamburan keluar menatap wajah yang pucat
bersama darah di sana sini.
“Cikgu sayang saya ..?”
soal Aniq.
“Mestilah saya sayang.
Awak pelajar saya,” balas Zara.
Aniq tersenyum bersama air mata. “Biar kita tidak dapat menyempurnakan
kasih kita di dunia, cikgu. Insya-Allah, saya tetap akan cari cikgu di akhirat.
Cikgu terlalu indah di hati saya. Kasih cikgu terlalu bermakna dalam hidup
saya, cikgu. Berkati dan redhai kasih sayang kami, Ya Allah,” bisik hati kecil
Aniq. Aniq memejamkan matanya serapat mungkin. Dia dapat rasakan tiada jalan
selamat lagi buatnya.
Saat itu juga bahagian
lantai bilik tersebut jatuh ke bawah bersama Aniq dan jenazah Zara. “Allahuakhbar.!
Sesungguhnya hanya pada Mu Allah, aku kembali,” bisik hati Aniq saat dia tidak
mampu lagi menyelamatkan diri dari kejadian gempa yang begitu dahsyat. Terasa
satu hentakan yang sangat kuat pada bahagian kepalanya. Pandangannya gelap
serta-merta.
Tamat