Tuesday, May 27, 2014

Dalam Dakapan Kasih ( saguhati sayembara cerpen Dewan Bahasa & Pustaka Wilayah Selatan 2012 )




Sesungguhnya cinta ku, hidup ku dan mati ku hanya untuk Allah. Air mata Zara mengalir lagi. Dia cuba menguatkan hatinya dengan kata-kata itu agar dia tidak terlalu memikirkan hal-hal dunia kecuali demi redha Allah. Namun, masih ada rasa sakit yang tersisa dalam hatinya. Peristiwa di malukan oleh pelajar lelaki Tingkatan 1 Reflessia semalam masih terbayang di bola matanya. Dia memejamkan matanya serapat mungkin. Sungguh dia tidak mahu lagi masuk ke kelas itu. Memandang wajah pelajar itu juga seperti tidak mahu. Tapi mampukah dia lakukan ? Tanggungjawab dan amanah terbeban di atas bahunya. Dia perlu juga melangsaikan tanggungjawabnya mendidik, mengajar dan membina masa depan pelajar-pelajarnya. Termasuklah Aniq. Mohammad Aniq Hafidzuddin, pelajar lelaki Tingkatan 1 Reflessia yang telah berjaya memalukannya semalam dan membuatnya menangis hingga di sujud Subuhnya ini. Zara melepaskan keluhannya cukup panjang. Pantas dia menyeka air matanya. Dia perlu hadapi juga. Semua itu dugaan sebagai seorang guru. Meskipun dia tidak pernah ikhlas belajar dan menjadi seorang guru, tapi demi perjanjiannya dengan dirinya sendiri dia perlu lakukan yang terbaik untuk dirinya. Satu tekadnya. Dia tidak akan selamanya sebagai guru. Menjadi hamba kepada pelajar-pelajar yang kurang ajar seperti Aniq.

Langkahnya cukup berat. Degupan jantungnya pantas tidak seperti biasa. Hatinya cukup tidak enak. Zara menghentikan langkahnya di kelas 1 Lily. Tidak kuat rasanya mahu melangkah ke Tingkatan 1 Reflessia. Buku rancangan pengajaran harian dan buku teks Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 1 digenggam erat. Dia cuba menahan gelodak hatinya saat itu. Dia menarik nafas dalam-dalam lalu dihembuskannya kembali. Setelah terasa jiwanya tenang sedikit, Zara melangkah dengan yakin masuk ke Tingkatan 1 Reflessia.
            “Bangun !!” gema suara pelajar menyapa gegendang telinganya saat dia masuk ke dalam kelas.
            “Assalamualaikum cikgu,” ujar ketua kelas lalu disambut oleh pelajar yang lain. Zara  hanya menjawabnya perlahan. Dia mengangkat muka memandang pelajar-pelajarnya. Terdapat sesuatu yang ganjil. Di mana Aniq?
            “Duduk semua,” ujar Zara sebaik saja pelajar-pelajar selesai membaca doa untuk memulakan pelajaran. Zara mula mengarahkan pelajar-pelajar mengeluarkan tugasan yang telah diberikannya semalam. Dia melangkah meninjau satu per satu kerja yang dihasilkan oleh pelajar-pelajarnya.
            “Mana Aniq?” soal Zara sebaik saja tiba di meja Abd Rahman, teman baik Aniq. Abdul Rahman mengangkat muka memandang gurunya itu.
            “Dia kemalangan semalam petang,” ujar Abdul Rahman. Zara tergamam. Kemalangan? Baru semalam dia memandang tawa pelajarnya itu saat dia jatuh tersungkur akibat kaki Aniq yang sengaja menghalang perjalanannya.
            “Teruk?” soal Zara memandang Abdul Rahman.
            “Tak tahu. Mungkin teruk. Berlanggar dengan kereta. Dia jalan kaki balik sekolah semalam,” jawab Abdul Rahman. Zara menarik nafas dalam-dalam lalu menganggukkan kepalanya. Dia tidak mahu meneruskan pertanyaannya pada Abdul Rahman. Cukuplah sekadar itu. Mungkin dia boleh dapatkan maklumat dari sumber yang lebih pasti.

Setelah mendapatkan maklumat terperinci dari fail pelajar di pejabat, akhirnya Zara nekad melawat Aniq di Hospital Besar Sultanah Aminah. Rasa marahnya kepada Aniq entah ke mana hilangnya. Sungguh dia lupa tentang kejadian yang menimpanya semalam. Dia lupa tentang hilai tawa Aniq saat dia jatuh tersungkur di dalam kelas semalam.
Langkahnya pantas menuju ke wad yang dimaksudkan. Sebaik saja tiba di pintu masuk wad 12, langkahnya terhenti. Dari jauh dia melihat Aniq sedang tidur dengan kedua belah kakinya berbungkus. Dia meneruskan langkahnya hingga tiba di sisi katil Aniq. Terdapat kesan luka di wajah dan tangan Aniq. Hati Zara meruntun hiba. Wajah pelajarnya itu begitu menyentuh hatinya. Aniq nampak saja besar dengan fizikalnya namun pelajarnya baru saja mahu melangkah ke alam remaja. Usia pelajarnya itu  masih begitu mentah untuk dia menaruh rasa sakit hati apa lagi dendam terhadap kejadian yang menimpanya semalam.
            Perlahan-lahan Aniq bergerak. Matanya mula terbuka. Zara menanti dengan sabar. Pasti kehadirannya adalah kejutan besar buat Aniq.
            “Assalamualaikum,” sapa Zara dengan senyuman sebaik saja Aniq membuka mata.
            Sebagaimana jangkaan Zara, kehadirannya benar-benar satu kejutan buat Aniq. Aniq terdiam saat memandang guru yang telah dia sakiti semalam. Salam gurunya itu tidak dijawab lantaran kejutan yang diterima.
            “Cikgu?” ujar Aniq. Zara tersenyum memandang pelajarnya itu.
            “Tak mahu jawab salam saya?” soal Zara.
            “Err .. waalaikumussalam,” jawab Aniq dalam gugup yang cuba di sembunyikan. “ Kenapa cikgu datang?” soal Aniq memandang guru barunya itu.
            “Tak boleh ya? “ soal Zara sambil duduk di kerusi yang telah tersedia di sisi katil tersebut.
            “Tak sangka cikgu datang,” jawab Aniq. Timbul rasa bersalah terhadap gurunya itu mengenangkan perbuatannya semalam. Mungkin ini juga apa yang Allah ‘hadiahkan’ buatnya kerana menyakiti guru yang begitu ikhlas dengannya.
            “Kebetulan saya ada urusan di sekitar sini. Saya datanglah sekejap. Abdul Rahman yang bagitahu awak kemalangan semalam,” ujar Zara.
            “Dia ada dengan saya semalam,” jawab Aniq ringkas. Zara menganggukkan kepalanya beberapa kali. Senyuman masih terukir di bibirnya.
            “Mak ayah awak mana?” soal Zara. Wajah Aniq sedikit berubah. Senyumannya sedikit hambar.
            “Mereka di Penang,” jawab Aniq pendek. Zara menarik nafas dalam-dalam. Mungkinkah Aniq ini sama saja nasibnya dengan anak-anak yang lain yang ketandusan kasih sayang dari orang tua mereka.
            “Mereka sibuk tu. Nanti mereka datanglah tengok awak,” komen Zara cuba menyenangkan hati pelajarnya itu.
            “Harap begitu,” jawapan ringkas dari Aniq itu menggambarkan hati pelajarnya saat itu. Getar suaranya saja sudah menggambarkan rasa kecewa yang begitu dalam. “ Saya ... saya minta maaf tentang semalam. Saya memang sengaja mainkan cikgu begitu,” ujar Aniq tidak memandang gurunya itu.
            Zara terdiam. Sungguh dia terlupa soal kejadian semalam. Pantas dia mengukir sebuah senyuman buat pelajarnya itu. “Saya tak berdendam. Tapi saya memang marahkan awak,” ujar Zara.
            “Cikgu marahkan saya tapi kenapa cikgu datang tengok saya?” soal Aniq. Baginya kehadiran Cikgu Zara, guru praktikal yang mengajar kelasnya subjek Sivik dan Kemahiran Hidup itu menunjukkan bahawa gurunya itu tidak marah kepadanya.
            “Aniq, awak kena ingat. Saya cikgu awak. Lama manalah saya boleh marahkan awak. Dari saya marahkan awak, rasanya lebih baik kalau saya cuba berbaik dengan awak. Boleh?” soal Zara. Aniq terdiam. Mesra suara gurunya itu seperti meresap ke dalam hatinya. Terasa dirinya dihargai dan disayangi. Tidak pernah ada sesiapa yang bercakap begitu lembut kepadanya. Tidak ada siapa juga yang pernah begitu prihatin padanya. Termasuklah ayah dan ibu tirinya. Ya, ibu tirinya. Andai saja ibunya masih hidup. Pasti ibunya akan sebaik Cikgu Zara Nafisah.

Sebulan terlantar di hospital, akhirnya Aniq kembali ke sekolah walaupun kakinya sedikit tempang ketika berjalan. Menurut doktor, keadaan itu hanya sementara. Dia akan pulih sepenuhnya sekitar dua minggu lagi. Semangatnya ke sekolah kali ini jauh berbeza. Dia tidak datang untuk bertemu kawan. Tidak juga datang untuk bermain tapi datang untuk bertemu Cikgu Zara Nafisah. Dia tidak tahu mengapa sejak kehadiran guru itu melawatnya di hospital, dia seperti terpukau dengan kebaikan guru itu.
            “Eh cikgu,” sapa Aniq sebaik saja terserempak dengan Zara saat gurunya itu keluar dari kelas di sebelah kelasnya. Zara terdiam seketika memandang pelajarnya itu.
            “Aniq. Awak sudah sihat betul?” soal Zara memandang Aniq yang sedikit tinggi darinya. Keadaan fizikalnya yang kecil dan wajahnya yang sentiasa tersenyum adalah pakej yang amat besar baginya untuk menyembunyikan umurnya yang sebenar.
            “Sudah cikgu. Cikgu cantik hari ni. Cikgu masuklah kelas ni,” ujar Aniq. Zara tergelak dengan pujian itu. Rasa ganjil sungguh apabila Aniq memujinya begitu.
            “Ini bukan masa saya, Aniq. Awak masuk kelas, belajar dengan cikgu awak ya. Bila masa saya, saya masuk. Cepat masuk kelas,” ujar Zara lalu melangkah meninggalkan pelajarnya itu. Aniq melepaskan keluhan. Guru kesayangannya itu tidak langsung prihatin terhadapnya. Sungguh itu mengecewakan.

Zara menatap surat arahan supaya dia mencari dan menyediakan pelajar untuk di hantar ke Kem Motivasi Jiwa dan Minda Kelas Pertama. Menurut Cikgu Ahmad Maalim, dia boleh memilih mana-mana pelajar yang dia rasakan layak untuk di hantar ke kem tersebut. Otaknya ligat memikirkan pelajar yang mungkin layak untuk ke sana. Dua orang lelaki dan dua orang perempuan. Siapa yang mungkin layak? Getus hatinya sendiri.
            Jika dia memilih pelajar menengah atas, pastinya itu pilihan yang baik memandangkan mereka akan menghadapi dunia luar tidak lama lagi. Tapi, mungkin juga pilihan yang baik jika dia memilih pelajar menengah rendah kerana pelajar tersebut mula akan dididik dari awal. Dalam usia awal remaja, mereka seharusnya mendapat pengisian jiwa yang baik agar dapat dijadikan asas kukuh bagi menghadapi usia dan dunia remaja.
            Otaknya mula fokus kepada Aniq. Dia tidak pasti mengapa nama pelajar itu muncul di kotak fikirannya. Mungkin juga pelajar itu semakin rapat dengannya. Mungkin juga kerana dia tahu bahawa ada yang tidak selesai dalam jiwa pelajar itu. Pantas Zara meletakkan nama Aniq Hafidzuddin bin Mohammad Aiman di dalam petak nama yang disediakan. Tinggal tiga petak yang kosong. Dia tersenyum sendiri. Dia tahu siapa yang bakal diletakkan. Pantas dia bangun lalu melangkah menuju ke bilik kaunseling.
            Setelah memohon izin dari guru kaunseling untuk melihat fail disiplin pelajar, Zara meneliti satu per satu nama yang dirasakan sesuai untuk dihantar ke kem tersebut. Dia tahu, tindakannya itu seperti gila. Meletakkan nama pelajar yang mempunyai masalah disiplin di sekolah untuk di hantar ke kem tersebut. Tapi dia punya alasan yang kuat dan tersendiri berkaitan hal itu. Jika pelajar yang baik dan terpilih di hantar ke kem tersebut, sememangnya itu bagi membangunkan lagi jiwa dan sahsiah diri mereka. Tapi, jika pelajar yang mempunyai masalah disiplin dan kecelaruan jiwa dihantar ke sana, bukankah itu dapat membantu mereka memberikan nafas baru dalam jiwa dan sahsiah mereka ?
Momokan bahawa mereka yang bermasalah akan terus bermasalah itu hanya prejudis oleh kebanyakan pihak. Kadangkala manusia tidak mahu memberikan mereka peluang untuk berubah malah terus menerus menghukum. Mereka tidak akan mampu berubah tanpa sokongan dan sentuhan baru dalam jiwa mereka. Label kacang hantu, kurang ajar dan banyak lagi panggilan-panggilan seperti itu saban hari kadangkala menjadi doa buat mereka. Bagi Zara, sebagai guru dia perlu membawa sesuatu yang positif buat mereka. Dia benar-benar mahu buktikan bahawa golongan pelajar nakal di sekolah itu mampu dibentuk dengan penghargaan dan kasih sayang. Dia pasti, meletakkan nama mereka yang bermasalah dalam kem tersebut akan menjadi buah mulut para guru di sekolah itu, tapi pasti penghargaan yang cukup besar bagi pelajar-pelajar yang terpilih.

Sabtu minggu keempat itu memaksa Zara hadir ke sekolah. Dia perlu bertugas sebagai guru menjaga beg para pelajar semasa larian merentas desa berlangsung. Rasa bosan begitu menghambat dirinya saat dataran perhimpunan sekolah itu kosong dengan pelajar. Hanya beg-beg yang berkumpul di sana sini.
            “Hai, cikgu,” sapaan itu membuatnya berpaling. Aniq duduk di sisinya dengan senyuman.
            “Assalamualaikum,” ujar Zara sekadar membetulkan sapaan pelajarnya itu. Bukankah mereka Muslim? Lebih baik bukan sekiranya sapaan mereka dimulakan dengan salam?
            “Waalaikumussalam,” jawab Aniq.
            “Kenapa kamu tak lari, Aniq?” soal Zara memandang pelajarnya itu.
            “Kaki saya tak elok lagi,” jawab Aniq sambil menunjukkan kakinya yang masih belum pulih sepenuhnya dari kemalangan dua bulan yang lalu. Zara hanya menganggukkan kepalanya.
            “Macam mana kem? Okay tak?” soal Zara memandang Aniq di sisinya. Waktu itu dia bertugas sebagai penjaga beg bagi pelajar yang membuat larian merentas desa.
            “Seronok cikgu,” jawab Aniq ringkas. “Banyak saya dapat di situ. Jaga solat. Cara pergaulan dengan kawan-kawan dan paling penting kasih dan sayangkan ibu bapa dan cikgu-cikgu,” sambungnya lagi. Zara tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
            “Bagus. Jadi sekarang Aniq jangan tinggal solat. Bila kita nak jadi orang yang bagus, orang yang hebat, jangan sekali lupa Tuhan. Jangan lupa Allah. Dalam hati jiwa orang hebat pula perlu dipenuhi dengan kasih sayang. Sebab berkasih sayang kerana Allah itu pahala,” ujar Zara. Aniq tersenyum.
            “Kalau saya sayangkan cikgu, maknanya saya dapat pahala?” soal Aniq memandang gurunya itu. Zara menganggukkan kepalanya.
            “Insya-Allah,” jawap Zara.
            “Cikgu sayang saya?” soal Aniq memandang gurunya itu. Entah mengapa dia tidak merasakan gurunya itu mempunyai beza umur sepuluh tahun dengannya. Cikgu Zara tidak pernah marah dengan setiap pertanyaannya.
            “Mestilah saya sayang. Awak pelajar saya. Saya sayang semua pelajar saya, Aniq,” jawab Zara. Jawapannya perlu tepat buat Aniq. Dia tidak mahu Aniq berfikir sayangnya mempunyai maksud yang berbeza. Baginya, hanya kasih sayang saja yang merapatkan hubungannya dengan semua pelajar selama dia menjalani latihan mengajar di sekolah itu.
            “Tapi saya nak cikgu sayang saya seorang,” balas Aniq. Ada rasa cemburu dalam hatinya apabila cikgu kesayangannya itu mengatakan dia menyanyangi semua pelajarnya. Maknanya, dia tidak berada di tempat yang istimewa di hati gurunya itu.
            “Tak bolehlah macam tu. Tak adil namanya,” balas Zara.     
            “Kalau saya suka cikgu?” soal Aniq. Zara terdiam. Suka yang bagaimana maksud Aniq? Pantas Zara menyembunyikan tanda tanya dalam hatinya.
            “Baguslah. Maknanya awak sukalah saya mengajar, kan?” balas Zara cuba mengalih topik perbualan mereka. Dia mula merasakan ada yang tidak kena dengan Aniq.
            “Tapi saya suka cikgu. Saya nak jadi boyfriend cikgu,” pengakuan Aniq benar-benar mengejutkan Zara. Dia tidak menduga itu yang keluar dari mulut pelajarnya itu. Lidahnya kelu seketika. Pantas dia tersenyum menyembunyikan rasa hatinya.
            “Tak boleh Aniq. Perasaan tu salah,” ujar Zara.
            “Kenapa? Cikgu sayang saya, kan? Cikgu ambil berat tentang saya,” balas Aniq seolah-olah sukar menerima jawapan gurunya itu. Zara menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali.
            “Saya sayangkan awak macam ibu ayah awak sayangkan awak. Tak lebih dari tu Aniq. Saya cikgu awak. Awak tanam betul-betul dalam hati awak yang saya cikgu awak. Boleh?” ujar Zara supaya Aniq faham situasi mereka sekarang. Supaya pelajarnya itu sedar bahawa kasih sayangnya pada Aniq bukan kasih sayang seperti pasangan kekasih. Itu sudah jauh melanggar etikanya sebagai seorang guru.
            “Tapi saya memang sukakan cikgu,” balas Aniq. Zara sekadar tersenyum. Pasti ada kekeliruan pada hati pelajarnya itu. Suatu masa nanti Aniq pasti akan sedar perasaan itu adalah satu salah faham antara kasih seorang guru dan kekasih. Dia yakin, perasaan itu pasti akan hilang begitu saja apabila dia tamat latihan mengajarnya di sekolah itu. Meskipun dia yakin, dia akan merindui sekolah itu. Merindui Aniq sebagai pelajarnya yang berbeza dari yang lain. Meskipun dia hadir ke sekolah itu sebagai guru secara paksa rela, namun menggalas tanggungjawab sebagai seorang guru membuatnya belajar erti keikhlasan. Dia benar-benar bersyukur kerana berpeluang mengenali manisnya bergelar seorang guru.

10 tahun kemudian
            Sedaya upaya Aniq mengejar gadis yang baru melintasinya tadi. Kesesakan para pelajar yang keluar dari dewan peperiksaan membuatkan gadis itu lenyap begitu saja. Aniq melepaskan keluhannya. Dia yakin itu Cikgu Zara Nafisah. Wajah guru Pendidikan Siviknya itu masih segar di mindanya hingga hari ini. Tiada siapa juga yang berjaya menggantikan sayangnya pada gurunya itu. Dia memandang ke kiri dan ke kanan.
            Perlahan-lahan dia mengecilkan bola matanya. Seorang gadis sedang menyandang beg galas berjalan menuju ke kafetaria. Aniq segera mengatur langkah mengekori gadis itu. Degupan jantungnya kia tidak teratur. Pelbagai andaian menerjah ke ruang fikirannya. Bagaimana jika dia salah?
            “Err .. assalamualaikum,” sapa Aniq sebaik saja menghampiri gadis itu. Aniq terdiam sebaik saja gadis di hadapannya itu memandangnya.
            “Waalaikumussalam,” jawab gadis itu dengan senyuman. Aniq tergelak memandang gadis di hadapannya itu. Sungguh itu memang Cikgu Zara Nafisah. Dia yakin itu guru kesayangannya yang begitu lama tidak dia temui. Guru yang amat dia rindui.
            “Cikgu Zara, kan?” soal Aniq inginkan lebih kepastian. Dahi gadis itu berkerut.
            “Cikgu?” ujar gadis itu kehairanan. Memang Zara. Zara keliru seketika. Dia hampir terlupa yang dia pernah bergelar guru di sekolah. Kerjayanya sebagai guru hanya sempat hingga menamatkan latihan mengajarnya. Selepas selesai ijazah sarjana mudanya, dia menyambung ke peringkat sarjana dan kini sedang bertungkus lumus untuk menghabiskan program doktor falsafah. “Cikgu tak ingat saya? Saya Aniq,” ujar Aniq sungguh-sungguh. Zara terdiam kemudian tergelak kecil. “Astaghfirullahadzim. Maaf. Saya terlupa sangat tadi,” ujar Zara. Aniq tersenyum memandang bekas gurunya itu.
            “Alhamdulillah, cikgu. Lama saya cari cikgu. Saya rindu sangat pada cikgu,” ujar Aniq meluahkan rasa syukur dan rindunya saat itu juga. Zara tergelak.
            “Masih ingat saya lagi, ya? Ingat dah besar-besar macam ni sudah lupa pada saya,” seloroh Zara dengan senyuman yang masih setia di wajahnya. Aniq tersenyum memandang guru yang amat dia rindui itu. Tidak banyak yang berubah pada gurunya itu. Penampilan dan senyuman wanita di hadapannya itu masih sama seperti dulu. Cikgu Zara masih mesra seperti dahulu. Hanya ada riak kematangan pada wajah itu.  
            “Mana boleh lupa, cikgu. Hari-hari saya rindu cikgu,” balas Aniq. Zara tergelak dengan kata-kata bekas pelajarnya itu. Aniq begitu berbeza kini. Dia bukan lagi anak kecil seperti 10 tahun lalu. Bekas pelajarnya itu sudah meningkat dewasa kini. Mungkin sudah mempunyai teman wanita untuk dijadikan pendamping hidupnya.
            “Pandai betul awak, ya. Belajar apa sekarang ni?” soal Zara.
            “Perubatan. Insya-Allah, awal tahun depan habis. Cikgu buat apa di sini? Sambung belajar?” soal Aniq memandang bekas gurunya. Zara tersenyum.
            “Cuba habiskan pHd secepat yang boleh. Saya tak jadi cikgu di sekolah. Tutor di UM,” jawab Zara. Aniq terkedu seketika. Bekas gurunya itu benar-benar merealisasikan apa yang pernah dia katakan dahulu semasa di dalam kelas sivik.
            “Tahniah. Harap cepat cikgu habiskan. Mesti sudah kahwin, kan?” duga Aniq. Zara tergelak tidak memandang bekas pelajarnya itu. Dia pasti memang itu adalah soalan yang sangat menjadi kegemaran ramai orang terhadapnya. Tapi baginya, jodohnya masih belum tiba.
            “Jodoh belum sampai,” jawapan Zara sedikit mengejutkan Aniq. Benarkah wanita di hadapannya itu masih belum berpunya? Jika benar, masih ada peluangkah dia untuk memiliki wanita di hadapannya itu? Beza umur 10 tahun bukan halangan baginya untuk jatuh cinta pada bekas gurunya itu. Malah dia benar-benar yakin dia sudah jatuh cinta kepada Cikgu Zara Nafisah beberapa minit yang lalu. Sungguh dia yakin.

Zara bangun dari sujudnya. Ada air mata mengalir di pipinya. Ada rasa hiba yang tidak tertanggung dalam hatinya.
            “Astaghfirullahaladzim,” bibirnya terus tidak berhenti beristighfar. Dia memandang ke sebelah kanannya. Sekujur tubuh sedang terlantar di atas katil. Sungguh dia tidak menduga lamaran Aniq berakhir dengan tragedi. Air mata Zara jatuh lagi. Masih terngiang-ngiang di gegendang telinganya saat Aniq melamarnya semalam.
            “Cikgu pernah pesan supaya saya cari perempuan yang baik untuk dijadikan pasangan, kan?” ujar Aniq memandang bekas gurunya itu. Zara menggeleng-gelengkan kepalanya.
            “Tapi bukan saya, Aniq,” balas Zara. Dia tidak tahu bagaimana semua ini boleh berlaku. Baginya, bercinta dan bernikah dengan lelaki semuda Aniq adalah amat mustahil. Apa lagi jika lelaki itu adalah bekas pelajarnya.
            “Cikgu juga seorang perempuan. Saya tak nampak mana salahnya. Saya sayangkan cikgu. Sepuluh tahun cikgu hilang. Jadi, saya tak nak cikgu hilang lagi,” luah Aniq. Zara semakin tidak menentu. Dia memandang lelaki di hadapannya itu. Dia akui ada sisa rasa sayangnya pada Aniq. Tapi dia tidak pasti adakah dia mampu untuk menyayangi Aniq sebagai seorang yang istimewa? Dia menyayangi Aniq sebagai seorang pelajar.
            “Saya memang masih belajar. Saya belum mampu menanggung hidup cikgu. Tapi saya sangat perlukan kasih sayang cikgu. Saya rindukan kasih sayang cikgu yang hilang tu. Saya hanya mahukan kasih yang halal dari cikgu. Saya mahu rindu saya pada cikgu itu bukan bercampur halal dan haramnya. Izinkan saya mencintai cikgu dengan cinta yang Allah redha,” luah Aniq memandang Zara. Zara terkedu. Belum ada seorang jua lelaki yang begitu ikhlas mengharapkannya. Belum ada jua lelaki yang berjaya mengetuk pintu hatinya selepas peninggalan tunangnya dahulu. Hatinya semakin serba salah untuk menolak mahu pun menerima lamaran tersebut.
Pergerakan bangunan yang begitu mendadak mengejutkan Zara yang sedang berperang dengan perasaannya. Dia memandang ke kiri dan kanan. Bunyi hiruk pikuk suara manusia menyesakkan fikirannya. Hilang rasa sedihnya tentang lamaran Aniq semalam. Tiba-tiba dia terpandang rekahan yang begitu panjang pada penjuru bilik tersebut. Mungkinkah hospital itu bakal terlibat dengan gempa bumi? Ya Allah, selamatkan kami Ya Allah. Air mata Zara berhamburan keluar memikirkan nasibnya dan Aniq di situ.
            Pantas dia berlari bersama telekung yang masih kemas tersarung menuju ke pintu wad tersebut untuk membukanya. Rasa cemas menghambat hatinya apabila pintu tersebut gagal dibuka lantaran konkrit bahagian atas yang sudah beralih posisinya.
            “Ya Allah,” tangisnya sendiri. Serpihan batu kecil mula jatuh dari atas memenuhi ruang bilik tersebut. Zara berlari mendapatkan Aniq yang masih juga tidak sedarkan diri. Dia menolak katil tersebut ke tempat yang mungkin dia rasakan lebih selamat.
            “Aniq, bangun Aniq. Kita mesti keluar dari sini sekarang,” tangis Zara semahunya. Dia menggoncang tubuh Aniq namun tiada sebarang tindak balas. Dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan saat ini. “ Tolong bangun Aniq,” rayu Zara bersungguh-sungguh bersama air mata.
            “Ya Allah, aku tidak tahu jika di sini akhirnya riwayat aku. Aku mohon ampun di atas setiap dosa yang telah aku lakukan. Ampunkan aku, Ya Allah. Ampunkan segala dosa pelajar ku, Ya Allah. Ampunkan kami, Ya Allah,” tangis Zara. Sekali lagi berlaku gegaran yang begitu kuat membuatkan Zara benar-benar tawakal dengan nasibnya. Retakan yang begitu panjang di bahagian bumbung benar-benar mematikan harapannya untuk menyelamatkan diri. Andai kata bahagian tersebut pecah, mustahil untuk dia dan Aniq selamat. Jeritan orang ramai melarikan diri begitu menyesakkan pendengarannya sedang dia dan Aniq tidak mampu ke mana-mana melainkan menunggu nasibnya di tentukan oleh Allah.
            Zara menarik nafas dalam-dalam. Tiba-tiba dia terpandang satu serpihan konkrit yang agak besar mula retak menanti jatuh. Seandainya serpihan itu jatuh, ia pasti akan jatuh menimpa Aniq yang tidak sedarkan diri itu. Sekali lagi dia cuba menolak katil tersebut ke bahagian lain. Belum sempat dia menolak katil tersebut, serpihan itu benar-benar jatuh.
            “Astaghfirullahaladzim .Ya Allah,” hanya itu saja yang mampu terucap di bibir Zara apabila dia menawarkan dirinya untuk menerima hentaman serpihan konkrit tersebut. Darah pekat berhamburan keluar dari mulutnya ke atas tubuh Aniq. Terasa jantungnya sakit sekali. Sakit yang tidak pernah dia rasakan sebelum ini. Sekali lagi darah berhamburan keluar. Tubuh Aniq basah dengan darah yang keluar dari mulut Zara. Zara hilang daya. Terasa tubuhnya hilang pertimbangan. Pandangannya kabur dan perlahan-lahan gelap. Dia tersungkur di atas tubuh Aniq bersama kain telekung yang berlumuran darah yang masih elok bersarung.

Perlahan-lahan Aniq membuka matanya. Tempat itu seperti padang jarak padang terkukur di matanya. Terdapat bahagian yang pecah dan retak di sana sini. Serpihan batu dan konkrit berselerakan di setiap tempat. Pintu bilik pecah di bahagian atas akibat tekanan yang begitu kuat dari bahagian konkrit atas. Perlahan-lahan dia mengalihkan sekujur tubuh yang tidak lagi bernyawa di atas tubuhnya. Cikgu Zara Nafisah. Air matanya mengalir.
“Cikgu,” ujarnya bersama air mata. Namun panggilannya sepi tidak bersahut. Hanya Allah jua yang tahu bagaimana rasa hatinya saat itu. Dia tidak tahu apa yang telah terjadi. Tapi menurut pertimbangannya, mungkin hospital tersebut terlibat dengan kejadian gempa.
            Perlahan-lahan dia menarik tubuh Zara yang sudah tidak bernyawa itu ke atas katil. Dia tidak akan membiarkan jenazah wanita yang dicintainya itu terbiar sepi di atas lantai. Kali ini dia beralih posisi turun dari katil membiarkan jenazah  Zara kemas di atas katil. Air matanya masih mengalir tidak mahu berhenti.
            Tiba-tiba satu gegaran yang cukup kuat mengejutkan Aniq. Gegaran tersebut mengakibatkan bahagian dinding luar berkecai. Waktu itu, dia benar-benar menyerahkan hidup dan matinya untuk Allah S.W.T. Jenazah Zara jatuh dari atas katil akibat pergerakan lantai bilik tersebut. Pantas Aniq menyambutnya dari terus jatuh keluar lalu menjunam ke bawah. Perbualannya dengan Cikgu Zara Nafisah sepuluh tahun lalu menerjah ke fikirannya saat itu. Air matanya berhamburan keluar menatap wajah yang pucat bersama darah di sana sini.
            “Cikgu sayang saya ..?” soal Aniq.
            “Mestilah saya sayang. Awak pelajar saya,” balas Zara.
Aniq tersenyum bersama air mata. “Biar kita tidak dapat menyempurnakan kasih kita di dunia, cikgu. Insya-Allah, saya tetap akan cari cikgu di akhirat. Cikgu terlalu indah di hati saya. Kasih cikgu terlalu bermakna dalam hidup saya, cikgu. Berkati dan redhai kasih sayang kami, Ya Allah,” bisik hati kecil Aniq. Aniq memejamkan matanya serapat mungkin. Dia dapat rasakan tiada jalan selamat lagi buatnya.
            Saat itu juga bahagian lantai bilik tersebut jatuh ke bawah bersama Aniq dan jenazah Zara. “Allahuakhbar.! Sesungguhnya hanya pada Mu Allah, aku kembali,” bisik hati Aniq saat dia tidak mampu lagi menyelamatkan diri dari kejadian gempa yang begitu dahsyat. Terasa satu hentakan yang sangat kuat pada bahagian kepalanya. Pandangannya gelap serta-merta.


Tamat

No comments:

Post a Comment