Saturday, June 1, 2024

Juara Bukan Yang Pertama ( TUNAS CIPTA SEPTEMBER 2023 )

Sampul surat tawaran masuk ke MRSM di genggam kemas. Melisa masih berkira-kira untuk memberitahu kedua orang tuanya berkaitan tawaran tersebut.

Hatinya memberontak untuk pergi. Namun, dia dapat membayangkan bagaimana kedua orang tuanya akan menolak nanti. Itu adalah impiannya. Itu adalah cita-cita selepas kurang mendapat tempat dengan keputusan Tahun Enam. Dia mahu buktikan kepada semua orang bahawa di mampu untuk berada dalam kalangan kawankawannya yang jauh lebih berjaya daripadanya.

“ Di mana pun awak belajar, sama saja Melisa. Di sini, di MRSM. Ilmu yang sama. Guru yang sama sahaja. Hanya tempat saja berbeza,” ujar Ustazah Zaharah. Melisa menghela nafas panjang. Banyak kali dia mendengar nasihat begitu. Namun, selagi mana dia berada di sekolah kampung ini, selagi itu dia tetap di pandang sepi oleh teman-teman dan sudara maranya yang lain. Budak kampung hanya layak duduk di sekolah kampung. Hatinya bagai ditusuk busur panah yang panas. Tajam. Sakit. Cukup sakit menikam jantungnya. Melisa hanya membiarkan kata-kata Ustazah Zaharah itu berlalu sepi. Dia sudah nekad. Di mahu keluar daripada dunia kampung ini.

*********************

Jelas telahannya tidak sedikit jua meleset. Kedua orangnya keras menentang untuk dia menerima tawaran masuk ke MRSM di Utara tanahair. Entah bagaimana dapat dia bayangkan betapa hatinya hancur. Bagai tiada satu jua serpihan semangat untuk dia bangkit semula untuk belajar di sekolahnya. “ Kita bukan orang senang. Kakak dan adik-adik pun perlukan duit untuk belajar. Ayah tahu Lisa cemerlang. Tapi Lisa masih boleh belajar dengan baik kan, di sini. Ayah bangga dengan Lisa. Kalau Lisa minta untuk kelas tusyen dan buku rujukan, in sha Allah ayah akan tunaikan. Tapi untuk ke sana, ayah tidak mampu, nak,” komen Pak Cik Razali. Gajinya sebagai seorang penjawat awam peringkat rendah tidak cukup besar untuk menanggung persekolahan. Melisa menerima pujukan ayahnya dengan rasa sangat berat. Hatinya sedikit memberontak. Namun dibiarkan saja.

Dalam rasa penuh terpaksa, Melisa meneruskan persekolahannya di sekolah harian biasa. Tempat di mana dia mula mengenal jatuh bangun dan tawa tangis hidupdi alam awal remaja. Surat tawaran ke MRSM Beseri sudah di bakar. Cukup menggambarkan rasa kecewanya. Kali ini, dia kalah lagi. Kalah dengan teman-teman di sekolah rendahnya dahulu. Hari ini, mereka sudah melangkah ke asrama penuh.
Tapi dia, hanya berulang alik ke sekolah dengan motosikal lama ayahnya. Tiada yang menarik untuk di ceritakan.

Sebulan rajuknya tidak terubat dek tidak dapat menjejakkan kakinya ke MRSM. Tiada apa jua dapat memujuk hatinya. Semangat belajarnya seakan hilang hilang tidak ketahuan. Hari-harinya hadir ke sekolah dan pulang ke rumah dengan jiwa dan hati yang kosong dan hambar.

****************

Nama Melisa sekali lagi di panggil daripada luar kelas. Kali ini wajah Cikgu Munirah berada di muka pintu. Dia melangkah menghampiri Cikgu Munirah yang menantinya di luar kelas. Degup jantungnya sedikit pantas. Selain memegang gelaran guru ikon sekolah atas penglibatan sastera dan kebudayaan, Cikgu Munirah adalah cikgu disiplin murid perempuan. Terdapat dua sahaja kemungkinan apabila dipanggil oleh Cikgu Munirah. Sama ada untuk kesalahan disiplin atau untuk tugasan hebat ke
pertandingan.

“ Awak boleh berpantun?” soal Cikgu Munirah memandang Melisa yang kelihatan bingung. Melisa menggelengkan kepalanya beberapa kali. “ Boleh awak cuba?” soal Cikgu Munirah. Melisa menganggukkan kepalanya beberapa kali. “ Ikut saya,” ujar Cikgu Munirah lalu melangkah beredar daripada bangunan kelas. Melisa menuruti langkah Cikgu Munirah tanpa sebarang kata. Mereka masuk ke Bilik Seminar. Di sana, terdapat beberapa orang pelajar yang lain. Dia tahu, mereka itu murid sastera kelas Cikgu Munirah. Rasanya cukup asing apabila di minta untuk menyertai mereka.

Seharian di Bilik Seminar, membuat persediaan untuk menyertai pertandingan peringkat daerah. Rupanya dia hanya mempunyai masa tiga hari sahaja untuk belajar membina rangkap rangkap pantun yang selama ini tidak pernah masuk di akalnya. Dia murid kelas sains dan teknikal. Bagaimana dia boleh berada dalam dunia sastera hari ini.? “ Pantun ini perlukan seseorang yang pantas dan akal yang cerdas. Kita hanya ada 1 minit untuk membina dan menjawab pantun yang di jual. Sebab itu saya
cari murid kelas sains. Budak saya boleh membina pantun yang baik, tapi kerap gagal untuk melepasi kriteria pertandingan..” bicara Cikgu Munirah mengemudi semangatnya agar lebih gigih untuk menguasai segalanya tentang pantun.

Hari itu jelas permulaan yang panjang dalam dirinya. Petang itu, selesai kelas Cikgu Munirah membawanya dan teman-teman kumpulan pulang ke rumah untuk meneruskan sesi latihan bagi pertandingan pantun. Hatinya terpana dengan kegigihan dan kesungguhan Cikgu Munirah terhadap mereka. Makan tengah hari dan minum petang di sediakan sebaiknya oleh Cikgu Munirah. Tidak adil rasanya jika mereka tidak cukup bersungguh-sungguh untuk menang dalam pertandingan ini.

****************

Sejak menang peringkat negeri dalam pertandingan pantun itu, Melisa menjadi ‘anak angkat’ kepada Cikgu Munirah. Bakatnya dalam pelbagai bidang kreatif mula dicungkil satu per satu. Daripada pengucapan awam, pengacaraan dan akhirnya penulisan. Melisa mula menyertai pelbagai pertandingan penulisan daripada peringkat daerah hinggalah menang di peringkat kebangsaan.

Namun, sesuatu yang Melisa lupa adalah prestasi akademiknya mula menurun akibat dia sendiri terlalu fokus dengan aktiviti luarnya. Hal tersebut memberi kesan yang besar apabila Namanya yang sudah mula dikenali oleh murid-murid dan guruguru gagal menempatkannya dalam program mentor mentee. Rasa malu dengan kawan-kawan dan guru-guru begitu tebal dalam dirinya ketika itu.

“ Termasuk dalam program mentor mentee bukan tiket untuk awak lebih berjaya nanti. Berjaya bukan semata-mata pada jumlah A yang awak peroleh,” ujar Ustazah Zaharah di mana ketika itu Ustazah Zaharah merupakan guru kelasnya. Dia menjadi sangat dekat dengan Ustazah Zaharah, lantaran dia memegang jawatan Setiausaha Persatuan Agama Islam selama 3 tahun berturut-turut. Hati Melisa sedikit terubat. Ada tekad dan semangat baharu muncul dalam jiwanya.

Dia melihat Peperiksaan SPM yang bakal berlangsung sepuluh bulan dari masa itu. Sedangkan jadual kokurikulumnya masih padat. Jadual persatuannya juga turut padat. Setiap majlis akademik di sekolah, dia akan bertindak sebagai penulis dan pengacara majlis. Terasa besar tanggungjawab yang dipikul ketika itu. Namun, setiap kali pertandingan atau waktu dia perlu meninggalkan kelas, dia akan bawa bersama buku-buku akademiknya. Cikgu Munirah dan Ustazah Zaharah banyak mengingatkannya agar mendapatkan semula tugasan yang banyak dia tinggalkan.

“ Saya yakin, awak murid cemerlang. Jika saya yakin dengan keupayaan awak, awak seharusnya lebih yakin dengan diri awak. Tiada apa pun yang boleh menjadi buster kepada diri awak, selain semangat awak sendiri. Cikgu-cikgu hanya mampu berusaha membantu awak. Selebihnya adalah pada diri awak. Bagaimana awak usaha dan bagaimana awak bertawakal kepada Allah,” bicara Cikgu Munirah begitu
kuat meresap ke dalam hatinya.

Langkahnya sudah begitu jauh. Mustahil untuk dia berpatah balik kembali ke tahun di mana dia di tingkatan 4. Ramai menuding jari ke arahnya atas kejatuhan keputusan peperiksaan akhir tahunnya ketika di Tingkatan 4. Ketika ini, dia hanya mampu memberi sepenuh fokus dan strateginya untuk menghadapi SPM yang bakal berlangsung 4 bulan sahaja lagi. Itu bukan jangka masa yang pendek. Namun, berkat semangat yang tidak pernah putus daripada keluarga dan guru-guru, terutamanya Cikgu Munirah, dia gagahkan juga dirinya. Ada ketikanya semangatnya jatuh. Namun, bicara Cikgu Munirah seringkali membina kembali motivasinya.

Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah menempatkan dia sebagai Tokoh Kokurikulum tahun itu. Penglibatannya dalam pelbagai pertandingan hingga ke peringkat kebangsaan, membawa namanya jauh ke hadapan berbanding nama lain yang di calonkan. Malah persatuannya iaitu Persatuan Agama Islam telah berjaya merangkul anugerah persatuan terbaik bagi dua tahun berturut-turut atas pencapaian
pengurusan fail dan kewangan terbaik. Dia tidak mungkin dapat membina kejayaan itu tanpa teman-teman yang begitu komited memberi kerjasama kepadanya. Namun, dia semestinya tidak mampu menzahirkan bakat dan kebolehan kepimpinannya tanpa Cikgu Munirah dan Ustazah Zaharah. Mereka berdualah teguh menjadi tulang belakang dan inspirasinya pada masa yang seterusnya.

****************

Hari ini, namanya sebagai Cikgu Melisa cukup memberi inspirasi kepada murid-murid dalam mengembangkan bakat dan keupayaan diri mereka. Di saat dia pernah dikecam akibat keputusan SPM yang merosot, namun dia bersyukur dan cukup berbangga. Usahanya membuahkan hasil. Keputusannya itu melayakkan di a untuk menyambung pelajarannya ke Matrikulasi dan universiti awam di Malaysia dalam bidang Pendidikan Teknik & Vokasional ( Elektrik ). Dia masih kekal dalam bidang
sains namun berkembang dalam dunia sastera.

Novel pertamanya telah berjaya di cetak dan di jual. Penulisannya pernah menjadi kicauan dalam kalangan penulis tersohor di Malaysia. Cikgu Munirah masih kekal menulis hingga hari ini. Satu per satu hasil karya Cikgu Munirah menjadi bualan para penulis muda hari ini. Ia cukup menjadi inspirasi kepadanya untuk mengeluarkan novel keduanya yang masih dalam proses penulisan.

Keunggulan Ustazah Zaharah yang akhirnya menjadi seorang Pengetua Cemerlang di sebuah sekolah kluster di Johor Bahru memberi nafas dan tekad baharu kepadanya untuk melihat masa hadapannya bukan sahaja selamanya bergelar guru biasa. Mereka berdua kekal menjadi inspirasinya dan dia mahu dirinya juga menjadi inspirasi kepada murid-murid yang bakal mendepani dunia yang lebih mencabar. Hari ini dia benar-benar melihat, untuk menjadi seorang juara, kita tidak seharusnya sentiasa di tempat yang pertama. Dia melalui fasa jatuh dan bangun. Berjaya dan gagal. Namun, tekad dan semangatnya berbekalkan doa ibu ayah dan guru-guru yang menjadi inspirasinya menjadikan dia ‘seseorang’ yang boleh membanggakan ummah.

****************

Surat pengiktirafan sebagai Guru Ikon Kebangsaan di genggem erat. Mungkin begitulah dahulu dia menggenggam surat tawran MRSM. Hari ini, arwah ayahnya tidak dapat melihat dia naik ke pentas menerima pengiktirafan tersebut. Tapi, dia yakin arwah ayahnya pasti akan berbangga dengan pencapaiannya hari ini. Ibu masih kekal di sisi menyokong setiap usahanya bersama doa yang tidak pernah putus. Benarlah. Terlalu awal untuk mengukir kejayaan dengan melihat di mana kita belajar. Kejayaan itu adalah pada tekad dan usaha. Kejayaan itu ada pada doa. Kejayaan itu ada pada
doa orang tua dan guru-guru.

No comments:

Post a Comment

Juara Bukan Yang Pertama ( TUNAS CIPTA SEPTEMBER 2023 )

Sampul surat tawaran masuk ke MRSM di genggam kemas. Melisa masih berkira-kira untuk memberitahu kedua orang tuanya berkaitan tawaran terseb...